Mata yang rabun menyukarkan kita untuk melihat dengan jelas. Banyak masalah yang kita hadapi sepanjang masa. Silap langkah kita akan terjatuh ke dalam longkang. Dapatkan cermin mata jika rabun supaya kita dapat mengelakkan daripada bahaya yang berada di hadapan mata.
Begitu juga dalam kewangan, bagi individu ataupun keluarga yang tidak mendorong dirinya untuk menjadi celik kewangan terpaksa hidup dalam kumpulan ‘rabun kewangan’.
Orang yang rabun kewangan sentiasa hidup dibebani dengan masalah ‘duit’. Sama ada duit tidak cukup, hutang semakin bertambah, membeli barangan yang salah dan sebagainya.
Orang yang rabun kewangan suka membeli simbol-simbol kekayaan tetapi bukannya kekayaan itu sendiri. Ini yang menyebabkan mereka menangung bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Antara simbol-simbol kekayaan yang dibeli terutama oleh orang yang hidup makan gaji adalah seperti :
1. Susu bayi yang paling berjenama dan yang paling mahal
2. Jenama lampin pakai buang yang berjenama dan mahal
3. Kereta yang paling mahal yang bank boleh luluskan pinjaman
4. Rumah yang paling besar yang bank boleh luluskan pinjaman
5. Pemilikan kad-kad kredit yang bertaraf ‘Gold ataupun Platinum’ Dengan ‘credit limit’ berpuluh ribu.
6. Pakaian yang berjenama tersohor
7. Handphone dari model yang terkini dan termahal
8. Aksesori diri dari jenama yang diiklankan di kaca TV
9. Aksesori kereta dari jenama-jenama luar negara
10. Memasang penghawa dingin di setiap ruang di dalam rumah termasuk dapur dan bilik stor.
11. Membeli barangan yang dilihat menarik tetapi barangan itu bukannya satu keperluan
12. Membeli hampir semua barangan dengan kad kredit, tetapi hanya membayar 5% pada setiap bulan, iaitu bayaran minimun.
13. Hantar anda masuk tadika yang berjenama tinggi dan ‘ada class’ – Tetapi apabila anak berumur 7 tahun, di hantar ke sekolah kebangsaan dan bukannya sekolah swasta yang ‘ada class’. Di tadika bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris, tetapi di sekolah kebangsaan bahasa pengantar dalam bahasa Melayu.
Dan banyak lagi simbol-simbol kekayaan yang anda lebih arif.
Simbol-simbol kekayaan seperti ini bukannya menambahkan kekayaan. Ianya hanya mengakibatkan kita menangung beban besar. Contohnya membeli kereta yang kita terpaksa membayar ansuran selama 9 tahun, mengakibatkan hidup dibebani dengan ansuran, penyelengaraan, cukai jalan, insurans dan juga petrol.
Untuk mengurangkan ataupun membebaskan diri kita daripada bebanan yang tidak perlu adalah dengan mengelakkan daripada memiliki simbol-simbol kekayaan yang tidak perlu. Rendahkan gaya hidup kita.
Shamsuddin Kadir
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008
6 comments on “Membebankan Diri Dengan Simbol Kekayaan”