Kita biasa dengan adab-adab ketika ingin masuk ke Masjid dan ketika berada di dalam Masjid.
Untuk masuk ke pasaraya kita juga digalakkan untuk mengaplikasikan adab-adab tertentu bagi mengelakkan kita menangung bebanan. Terlebih belanja, membeli barangan yang tidak perlu, lari bajet, adalah di antara bebanan yang sering menimpa para pengunjung pasaraya.
Antara Adab-adab memasuki pasaraya adalah seperti berikut :
-
Membawa senarai barangan yang ingin dibeli. Elakkan pergi ke Pasaraya tanpa membawa senarai yang telah diluluskan.
-
Membawa perut yang kenyang. Elakkan datang dalam keadaan berlapar. Nafsu makan meningkat ketika waktu lapar. Semua makanan ingin dimakan. Di sini kita akan berbelanja diluar batasan normal jika tidak mengendahkannya.
-
Gunakan sistem tunai. Iaitu bayar dengan duit bukannya kad. Jika anda mengamalkan pembayaran mengunakan kad, pastikan jumlah harga barangan untuk dibeli itu ditetapkan terlebih dahulu. Contohnya, apabila mendapat senarai barangan yang telah diluluskan, buat anggaran harganya, dan jangan cajkan kad kredit itu jika jumlah yang sebenar melebihi 5% daripada harga yang anda telah bajetkan. Implikasinya, anda akan berbelanja diluar kemampuan, jika tidak menghadkan bagi setiap pembelian.
-
Bawa duit berdasarkan angaran kos mengikut senarai yang disediakan itu. Jangan bawa duit lebih. Duit lebih memberikan anda peluang untuk anda berbelanja melebihi bajet.
-
Beli secara pukal barang keperluan harian – Bagi barangan kering rancang untuk sebulan sekali. Jimat Petrol, jimat masa anda.
-
Fokuskan kepada waktu ‘Jualan Murah’ kepada barangan keperluan harian seperti susu dan lampin pakai buang anak. Beli untuk tempoh 3 bulan sekali jika perlu.
-
Beli barangan yang ada di dalam senarai sahaja. Bukan semua barangan yang terdapat di dalam pasaraya adalah dalam kemampuan kita pada masa ini. Apabila sampai di pasaraya terdapat 1001 barangan yang tiada dalam senarai yang kita ingin beli. Ianya adalah barangan yang kita tidak perlukan. Jika ianya adalah barang yang kita perlukan, sudah pasti nama barangan itu sudah tertera di dalam senarai anda.
-
Jangan Pandang untuk kali kedua. Jika kita terpandang barangan yang tiada di dalam senarai, elakkan daripada memandangnya kali kedua. Pandangan kali kedua akan membuatkan kita jatuh cinta padanya. Jika barangan itu tiada di dalam senarai, ianya bermakna barangan itu bukannya barangan yang kita perlukan.
-
Beli barangan dari jenama yang lebih murah tetapi berkualiti.
-
Pastikan anda menyimpan semua resit yang diberikan untuk rujukan di masa akan datang.
-
Untuk lebih menjimatkan, elakkan membawa anak bersama, jika anda tidak dapat mengawal ‘nafsu’ mereka. Kebanyakan keluarga terlebih berbelanja akibat daripada memuaskan kehendak anak-anak yang ‘terpengaruh’ trick pasaraya.
Selamat berbelanja, tetapi jangan lupa adabnya.
Shamsuddin Kadir
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008
8 comments on “Adab-Adab Memasuki Pasaraya”