Ramai orang tidak terlepas mengambil peluang menetapkan azam pada setiap tahun baru. Tetapi yang peliknya, tidak sampai 1 peratus daripada mereka yang menetapkan azam berjaya mencapainya. Ini yang dikatakan pelik tetapi benar.
Kenapa azam / impian itu tidak menjadi kenyataan ?
Majoriti orang yang ada azam itu hanya menulis apa yang ingin dicapainya di dalam mindanya sahaja. Bagaimana anda ingin mengetahui apa yang anda ingin capai jika anda tidak menulisnya di atas kertas. Selepas sebulan berlalu anda berkemungkinan besar sudah melupakan apa yang telah anda rancang untuk dicapai pada tahun ini.
Apabila anda menetapkan sesuatu azam, anda sebenarnya ingin membuat perubahan ataupun berhijrah. Bagaimana azam itu dapat menjadi realiti jika anda tidak merancang untuk azam itu berjaya dicapai.
“Menetapkan azam baru tanpa ada pelan adalah seperti anda mengisi minyak ke dalam sebuah kapal terbang tetapi kapal terbang itu tidak ada enjin.”
Bagaimana anda dapat menerbangkan kapal terbang yang membawa azam itu jika ianya hanya ada minyak yang mencukupi tetapi tidak ada enjin untuk membawa anda ke destinasi yang diimpikan ?
Sediakan pelan secara bertulis.
Contohnya:
Impian anda yang pertama untuk di capai pada tahun 2008 / 1429 adalah :
-
Menurunkan belanja bulanan kepada 70% daripada pendapatan bulanan
Antara persoalan yang ada perlu tanya pada diri anda adalah :
-
Bagaimana status peratus terkini jumlah yang anda belanja daripada pendapatan bulanan ? Contohnya 100%. Ini bermakna jika gaji anda adalah RM 3,500 anda membelanja (kos sara & gaya hidup, bayar hutang…) adalah RM3,500. Semua yang anda terima dibelanjakan pada setiap bulan.
-
Berapa lama masa untuk mencapai, iaitu menurunkan peratus perbelanjaan daripada 100% kepada 70%. Contohnya 6 Bulan. Ini bermakna anda perlu mula mengurangkan perbelanjaan bermula dari bulan ini. Mulai bulan Julai 2008 perbelanjaan bulanan anda menjadi RM 2,450 sahaja.
-
Apakah anda sanggup membuat pergorbanan ? Iaitu mengubah ‘Dimensi Gaya Hidup” Anda perlu mengubah dan mengurangkan aktiviti gaya hidup yang berlebihan bagi memastikan anda dapat menjimatkan sebanyak RM 1,050.
Sekarang senaraikan segala kos yang anda perlu tanggung pada setiap bulan.
Contohnya :
1. Ansuran Rumah RM 800
2. Ansuran Kereta RM 650
3. Skim Bayaran Mudah RM 250
4. Bil Elektrik
5. Bil Siaran berbayar (Jika ada)
6. Bil Telefon
7. Petrol – Kereta
8. Dan seterusnya… termasuk bil yang dibayar setahun sekali seperti Takaful, Cukai Jalan ‘Road Tax’, Cukai Pintu… Dapatkan jumlah setahun dan dibahagikan dengan 12 bulan bagi mendapatkan perbelanjaan untuk sebulan.
Ketika menjalankan kursus panduan mengurus wang gaji bagi kakitangan, majoriti iaitu 99% daripada pekerja berbelanja melebihi daripada gaji yang mereka terima.
Cuba anda lakukan, ianya merubah hidup anda, jika diizinkan oleh Tuhan.
p/s : 70 % adalah jumlah maksimun seseorang yang ‘Celik Kewangan” akan belanja pada setiap bulan.
Kepada yang ingin memberikan maklum balas selepas membuat senarai tersebut, sila emailkan kepada saya di info@shamsuddinkadir.com.
Kepada yang masih belum ada Azam, anda masih belum terlambat. Anda boleh memulakan dengan Azam menurunkan kos belanja hidup.